Kepentingan Sejarah
Sejarah merupakan salah satu disiplin yang paling asas dan penting dalam bidang ilmu kemanusiaan. Sebagai satu bidang yang mengkaji tentang masa lalu, sejarah merupakan satu disiplin ilmu yang memberikan latihan intelektual yang menekankan kebebasan berfikir dan menganalisis secara mendalam serta mengemukakan hujah yang berasaskan kepada bukti dan sumber yang kukuh. Menerusi pembelajaran sejarah, pelajar dapat meningkatkan kemahiran menulis dan membaca serta berupaya merangkumkan maklumat yang pelbagai bagi memahami sesuatu peristiwa dengan lebih mendalam.
Program sejarah di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia tidak hanya menekankan kepada menghafal fakta, tarikh dan tokoh, dan bukan juga tentang kehidupan atau peristiwa masa lampau. Sebaliknya program sejarah bertujuan memberikan pemahaman yang baik kepada pelajar tentang masa lalu bagi menjelaskan perkembangan dunia masa kini. Masa lalu dan masa kini mempunyai kesinambungan dan saling berkaitan, dan kedua-duanya akan tetap kabur tanpa pemahaman antara satu sama lain. Justeru bagi mempersiapkan pelajar dengan kemahiran ini, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis melangkaui pelbagai sumber dan perspektif.