Unit Sejarah Lisan
Pengenalan
Unit Sejarah Lisan (Oral History Unit) diwujudkan pada tahun 2014 sebagai sebahagian daripada perancangan APEX Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Penubuhan unit ini adalah bertujuan untuk menggerakkan usaha mengumpul dan mendokumentasi sejarah menerusi kaedah sejarah lisan. Penubuhan unit ini adalah selaras dengan penjenamaan kursus Dokumen-dokumen dalam Sejarah Malaysia 1 yang kini dikenali sebagai Sejarah Gunaan dan Kajian Tempatan. Kursus ini menjadikan kaedah sejarah lisan sebagai salah satu komponen penting yang akan didedahkan kepada pelajar secara teori dan juga praktikal. Selain menyokong keperluan kursus dan menggerakkan penyelidikan sejarah menerusi kaedah sejarah lisan, penubuhan unit ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan Bahagian Sejarah terhadap pemantapan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia melalui projek-projek Sejarah Lisan yang dijalankan oleh badan-badan yang dibentuk oleh kerajaan negeri dan persatuan yang terlibat dalam usaha mendokumentasikan Warisan Tidak Tampak di bandar George Town dan Pulau Pinang secara umumnya.
Justifikasi Penubuhan
Penubuhan Unit Sejarah Lisan amat diperlukan untuk memperkasakan kemahiran Bahagian Sejarah dalam meneroka penyelidikan yang lebih luas. Ia juga amat relevan dengan perkembangan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia (pengktirafan oleh UNESCO pada 7 Julai 2008) yang tentunya memerlukan lebih banyak kajian ke atas warisan tidak ketara dicungkil, didokumentasikan dan dikongsikan dengan masyarakat umum. Kewujudan unit ini dijangka dapat menjadi ruang mengembeling usaha penyelidikan yang lebih luas bagi kepentingan sejarah dan warisan negara.
Objektif
- Menjalankan penyelidikan dan mendokumentasi sejarah lisan
- Melatih dan mewujudkan pakar dan modal insan yang mahir menggunakan kaedah sejarah lisan.
- Memberi khidmat nasihat bagi projek sejarah lisan.
- Mewujudkan hubungan kerjasama dengan badan-badan kerajaan, persatuan, ahli akademik, dan penyelidik bebas tentang hal-hal warisan dan sejarah tempatan.
- Mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sejarah lisan kepada aspek warisan tempatan dan negara.
Aktiviti
Di antara aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti berikut:
- Pendokumentasian sejarah lisan
- Penganjuran bengkel dan seminar
- Memberi khidmat nasihat dan perundingan bagi projek sejarah lisan
- Penyelidikan dan penerbitan
Sumber Kewangan
- Geran universiti
- Tajaan institusi tempatan dan nasional
Rekod Pencapaian Unit Sejarah Lisan 2014 - 2025
- Memperoleh Geran Pemandu Pelancong di kawasan Merbok untuk kursus sejarah lisan Lembah Bujang daripada Malaysia Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), 1 September 2014 - 30 November 2014. Hasil geran berupa satu penerbitan Handbook Sejarah Lisan Lembah Bujang (2015) yang diterbitkan oleh NCIA dan Persatuan Peladang Merbok. Seramai tiga orang pelajar Bahagian Sejarah USM yang berkemahiran dalam kaedah sejarah lisan dilantik sebagai penyelidik bagi projek geran ini.
- Tiga orang pelajar Bahagian Sejarah PPIK diterima sebagai pelatih bagi projek Sejarah Lisan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) 2014 (Muhammad Izuan Abdul Rahman, Haidir dan Md Hasri Rajali).
- Empat orang pelajar Bahagian Sejarah PPIK dilatih menggunakan kaedah sejarah lisan dan terlibat dalam penyelidikan dan penulisan buku berjudul Memori di George Town (2014) anjuran / terbitan George Town World Heritage Incorporated.
- Memberi latihan sejarah lisan kepada penyelidik-penyelidik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (2014), di Pustaka Sarawak dan USM termasuk kepada penyelidik-penyelidik dari Pusat Pengajian Biologi (2015) (Prof. Dr. Mahani Musa)
- Memberi ceramah dan seminar sejarah lisan di USM, dan di GTWHI (2014) (Prof. Dr. Mahani Musa).
- Penglibatan Prof. Mahani Musa sebagai Penasihat projek sejarah lisan anjuran George Town World Heritage Incorporated GTWHI, 2013-2016.
- Menjalankan projek Sejarah Lisan Sekolah Al-Mashoor sejak 2014 dengan kerjasama Bahagian Malaysiana dan Arkib, Perpustakaan Hamzah Sendut USM.
- Mengendalikan projek penulisan 100 tahun sekolah Al Mashoor di bawah tajaan Jamaiyah Al-Aikha’ Al-Khairiyah, Negeri Pulau Pinang (2016). Projek ini melibatkan kerjasama dengan Perpustakaan Hamzah Sendut, USM (bahagian Malaysiana dan Arkib). Projek ini menggunakan kaedah sejarah lisan sepenuhnya.
- Bengkel Sejarah Lisan USM 2017, anjuran Bahagian Sejarah PPIK, 13-14 Julai 2017, Dewan Persidangan PPIK, USM.
- Menganjurkan bengkel sejarah lisan khusus untuk kumpulan penyelidikan tujahan PPIK Naratif Sakral dalam Warisan Nusantara, 24 Mac 2017.
- Menjalankan penyelidikan berjudul “The Hajj Heritage in Penang,” Thinkcity Grant Award 2017 (diketuai Prof. Dr. Mahani Musa).
- Menjalankan penyelidikan berjudul “Kajian dan Ceramah: Pulau Pinang sebagai Hab Pelepasan Jemaah Haji pada Era Pentadbiran Francis Light,” Geran Penyelidikan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM (ICU- BPP), 1 Mei 2022-31 April 2023 (diketuai Prof. Dr. Mahani Musa).
- Siri Bicara Malaysiana (1/2023), Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia bertajuk Perkongsian Pengalaman Veteran Angkatan Tentera Malaysia: Menyemai Semangat Patriotik, anjuran Perpustakaan Hamzah Sendut USM dengan kerjasama Unit Lisan Bahagian Sejarah PPIK, 13 September 2023.
- Bengkel Sejarah Lisan USM 2024, anjuran Bahagian Sejarah PPIK, 24-25 September 2024 (secara atas talian).
- Siri Bicara Malaysiana, Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia bertajuk Perkongsian Pengalaman Datuk Abdul Rashid Harun dalam Kerjaya Polis Diraja Malaysia (PRDM), anjuran Perpustakaan Hamzah Sendut USM dengan kerjasama Unit Lisan Bahagian Sejarah PPIK, 11 September 2023.
Ahli Unit Sejarah Lisan, PPIK
Dr. Mahani binti Musa (Penyelaras)
Dr. Tan Chee Seng
Dr. Norasmahani binti Hussain
Dr. Mohamad Khairul Anuar bin Mohd Rosli
Dr. Siti Noor Hafizah binti Mohamed Sharif
Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali @abang
Dr. Dunita Nabila binti A Rahimin