Kata Aluan
Selamat datang ke Bahagian Sejarah,
Bahagian Sejarah merupakan salah satu disiplin terawal yang diwujudkan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM sejak ditubuhkan pada tahun 1970. Bahagian Sejarah menawarkan program pengajian dan penyelidikan akademik dalam disiplin sejarah pada peringkat pra siswazah dan pasca siswazah. Program pengajian ini merupakan salah satu program sejarah yang terbaik di Malaysia.
Bidang penyelidikan utama Bahagian ini merangkumi dari Sejarah Malaysia sehinggalah Sejarah Dunia Barat. Sementelah fokus terbesar pula ialah dalam Sejarah Malaysia dan Sejarah Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, kami turut mempunyai kepakaran dalam Sejarah Asia Timur (China), Sejarah Timur Tengah dan Afrika Utara moden, Sejarah Dunia Islam, Sejarah Asia Selatan dan Sejarah Eropah moden. Tema-tema kajian dan pendidikan sejarah yang ditawarkan di sini termasuklah berkaitan dengan sejarah konflik dan perang, hubungan etnik, politik dan nasionalisme, sejarah sosio ekonomi, sejarah diplomatik dan hubungan antarabangsa, sejarah serantau, sejarah gunaan dan kajian tempatan, sejarah gender, teori dan falsafah sejarah serta kajian historiografi.
Bahagian Sejarah amat mengalu-alukan kedatangan calon yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian di sini. Kami juga amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasakan lagi penyelidikan disiplin sejarah. Visi kami ialah untuk memimpin pelbagai inisiatif dalam memartabatkan Bahagian ini khususnya, dan disiplin sejarah amnya ke arah yang lebih gemilang di persada antarabangsa.
Salam hormat,
Profesor Madya Dr. Muhamad Hasrul Zakariah
Pengerusi
Bahagian Sejarah
- Hits: 64